NatNetwork Synergy

Terma Perkhidmatan

Terma ini menerangkan urusan perkhidmatan NatNetwork Synergy, daripada persetujuan skop dan sebut harga hingga pembayaran, pelaksanaan projek dan serahan.

Dikemas kini: 28 Oktober 2026

1. Perkhidmatan dan dokumen projek

NatNetwork Synergy menyediakan pembangunan website, e-commerce, aplikasi web tersuai, AI dan automasi, integrasi sistem/API serta penyelenggaraan dan sokongan mengikut skop yang dipersetujui.

Skop, perkara yang termasuk dan tidak termasuk, harga, anggaran tempoh, pindaan, sokongan serta hasil serahan ditentukan dalam spesifikasi yang diluluskan dan sebut harga yang diterima. Keperluan yang belum dipersetujui tidak dianggap termasuk secara automatik.

2. Sebutharga dan persetujuan

Sebut harga merujuk kepada versi spesifikasi yang diluluskan secara khusus dan mempunyai tempoh sah. Sebut harga yang telah tamat tempoh atau merujuk kepada skop yang telah berubah perlu disemak dan dikeluarkan semula sebelum diterima.

Sebut harga yang diterima menjadi asas kontrak dan dikunci bersama rekod skop, harga serta terma pada masa persetujuan. Perubahan harga katalog atau kemas kini halaman ini tidak mengubah sebut harga yang telah diterima secara retrospektif.

3. Deposit, slot dan permulaan projek

Selepas menerima sebut harga, pelanggan memilih slot yang tersedia untuk dipegang sementara. Pesanan hanya disahkan apabila deposit terkumpul mencapai 50% dan pembayaran telah disahkan oleh sistem. Slot yang dipegang tanpa pembayaran sah boleh dilepaskan apabila tempohnya tamat.

Pembayaran deposit tidak bermaksud kerja pembangunan sudah bermula. Projek yang disahkan menunggu permulaan rasmi oleh NatNetwork melalui tindakan START PROJECT. Status permulaan rasmi ini juga menentukan kelayakan bayaran balik standard.

4. Pembayaran dan baki akhir

Amaun yang perlu dibayar adalah mengikut sebut harga, invois dan caj tambahan yang diluluskan. Paparan kembali daripada gerbang pembayaran sahaja bukan pengesahan bayaran; status perlu disahkan oleh sistem pembayaran.

Permintaan bayaran akhir 50% dijana apabila kemajuan projek pertama kali melintasi 80%. Tahap ini membolehkan semakan pelanggan dan tidak bermaksud semua kerja telah selesai. Deployment akhir dan serahan menunggu pembayaran baki yang diperlukan serta syarat penyempurnaan projek. Yuran pembangunan dan yuran berulang dinyatakan berasingan dalam dokumen berkaitan.

5. Kandungan pelanggan dan jadual

Pelanggan perlu menyediakan maklumat, kandungan, fail dan maklum balas yang diminta untuk skop projek. Kandungan yang dihantar perlu disemak dan diterima; penghantaran fail sahaja tidak bermaksud keperluan telah dipenuhi.

Jika tindakan pelanggan menghalang kemajuan, projek boleh berada dalam status menunggu pelanggan dan kiraan masa pembangunan aktif dijeda. Selepas kandungan diterima, projek disambung mengikut slot tersedia seterusnya. Anggaran baharu mengambil kira masa menunggu pelanggan dan giliran sambungan yang berkaitan.

6. Pindaan dan kerja tambahan

Pindaan ialah perubahan kecil dalam skop yang diluluskan. Satu pusingan pindaan ialah satu kumpulan maklum balas terkumpul. Jumlah pusingan yang termasuk mengikut sebut harga yang diterima.

Permintaan di luar skop melalui semakan kerja tambahan, penentuan harga dan kelulusan pelanggan sebelum dilaksanakan. Caj tambahan memerlukan pengesahan rasmi melalui portal; persetujuan tidak formal melalui WhatsApp atau emel bukan kelulusan rasmi caj tambahan. Kerja tambahan tidak mengubah sebut harga asal yang telah diterima.

7. Pembatalan dan bayaran balik

Deposit yang dibayar sebelum projek dimulakan secara rasmi layak untuk bayaran balik standard. Selepas tindakan START PROJECT, kelayakan bayaran balik standard tamat. Kes seperti pembayaran berganda, pembayaran tersalah atau pembatalan oleh NatNetwork boleh disemak sebagai pembetulan pengecualian dengan rekod yang sewajarnya.

Hubungi kami dengan rujukan projek dan pembayaran untuk memohon semakan. Bayaran balik pra-permulaan yang berjaya membatalkan pesanan atau projek berkaitan dan melepaskan slot sambil mengekalkan sejarah transaksi. Permohonan sahaja tidak bermaksud bayaran balik telah diluluskan atau selesai.

8. Hasil serahan dan penyempurnaan

Hasil serahan terhad kepada perkara yang dipersetujui dalam sebut harga yang diterima, seperti deployment, pakej kod sumber jika termasuk, dokumentasi, panduan admin dan maklumat akses serahan. Semua kod, alat atau nota dalaman tidak dianggap sebagai hasil serahan secara automatik.

Projek disempurnakan selepas milestone wajib, baki bayaran yang diperlukan, pindaan wajib, kelulusan pelanggan dan hasil serahan yang diperlukan diselesaikan.

9. Sokongan, penyelenggaraan dan pihak ketiga

Sokongan percuma bermula apabila projek disempurnakan, dengan tempoh mengikut sebut harga atau pakej yang dipersetujui. Sokongan ini meliputi kecacatan dalam skop asal, bukan ciri atau halaman baharu, perubahan reka bentuk atau aliran kerja, integrasi baharu atau perubahan kandungan besar.

Masalah yang berpunca daripada pelanggan atau pihak ketiga serta perubahan API penyedia selepas serahan berada di luar sokongan percuma skop asal. Hosting, sokongan percuma, penyelenggaraan dan pembangunan tambahan ialah perkhidmatan berasingan. Penyelenggaraan bukan pembangunan tanpa had; yuran berulang dan keperluan pembaharuan mengikut perkhidmatan yang dipersetujui.

10. Data dan rekod urusan

Pengendalian data peribadi diterangkan dalam Dasar Privasi, manakala cara memohon pemadaman data diterangkan pada halaman Pemadaman Data Pengguna. Rekod kewangan, kontrak yang diluluskan dan audit kritikal dikekalkan mengikut keperluan penyimpanan.

Gunakan saluran hubungan di bawah untuk mendapatkan penjelasan tentang dokumen atau urusan anda. Permintaan pindaan skop, pembatalan dan bayaran balik tetap tertakluk pada proses kelulusan berkaitan.

Pertanyaan tentang terma

Jika anda memerlukan penjelasan tentang terma atau dokumen projek anda, hubungi kami sebelum membuat persetujuan:

Dasar Privasi · Pemadaman Data Pengguna

NATNETWORK SYNERGY
202503335902 (KT0604088-M)
NO 77, JALAN JUASSEH SENTOSA 5
TAMAN JUASSEH SENTOSA
72500 KUALA PILAH, NEGERI SEMBILAN
enquiry@natnetwork.net
011-1670 5857